Siapa tidak kenal akan Anwar Hadi, seorang anak Malaysia yang amat berbakat yang telah meraih begitu banyak perhatian para pengunjung ' Youtube ' . Video ini, dikongsi di sini hanya sebagai hiburan. Video yang merangkumi bahasa-bahasa rempit yang sangat menjadi ikutan malahan merosakkan Bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebanggaan negara kita. Semoga terhibur dan ambillah pengajaran yang elok daripada video di atas.
BAHASA REMPIT
Bahasa rempit adalah bahasa yang digunakan oleh golongan remaja khususnya pelajar-pelajar sekolah. Bahasa rempit ini adalah bahasa yang popular pada masa kini. Bahasa rempit ini juga merupakan salah satu bahasa yang merosakkan bahasa kebangsaan kita. Bahasa ini digunakan secara berleluasa dan tidak dapat dibendung lagi dalam kalangan remaja pada masa kini. Mereka menggunakan singkatan perkataan bahasa Melayu dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, aq (aku), wat (buat), duk (duduk). Malah, mereka juga menukar sesuatu perkataan itu kepada bahasa mereka. Sebagai contoh, mocan (bosan), kowunk (korang/ kamu), tao ( tahu ), tyomelnya ( comelnya ) dan dorunk ( diorang / mereka ). Bahasa rempit ini akan lebih jelas dilihat dalam penulisan khidmat pesanan ringkas ( sms ) antara mereka. Jika didengar melalui bahasa lisan, kita sukar untuk membezakannya dengan bahasa slanga yang biasa didengar.
Contoh ayat yang biasa digunakan adalah seperti berikut :
1) ‘ weh, jom ikt Aq gi tgk wyg. mocan la duk umah. ta tao wat pe’.
2) ‘Kowunk sihat tak?’
3) ‘Tyomelnya kau’
4) ‘Kaw ni jahatlah’
5) ‘Ajak dorunk sekali’
6) ‘Leklu’
Komen :
Masyarakat pada masa kini, khususnya golongan remaja tidak mempunyai semangat untuk memperkasakan dan juga memartabatkan bahasa kebangsaan. Kesedaran mengenai kepentingan bahasa kebangsaan tidak wujud dalam diri mereka. Golongan ini memerlukan bimbingan supaya mereka sedar akan pentingnya bahasa kebangsaan kita ini. Jika mereka mempunyai kesedaran dalam diri mereka, maka mereka tidak akan sesekali merosakkan bahasa kebangsaan yang sedia ada. Perkara yang paling membimbangkan adalah jika golongan remaja ini terutamanya pelajar sekolah akan membiasakan diri menggunakan bahasa ini walaupun di dalam peperiksaan, iaitu semasa menghasilkan karangan bertulis. Mereka tidak akan dapat menghasilkan karangan yang baik kerana bahasa yang digunakan dalam penulisan karangan tersebut telah dipengaruhi oleh bahasa yang biasa digunakan bersama-sama teman-teman, iaitu bahasa rempit. Oleh itu, guru-guru bertanggungjawab untuk membantu pelajar-pelajar ini.